Arahan Bapa
Pada hari pertama tahun itu segala-galanya didirikan, diurapi dan diletakkan di tempatnya, Harun dan anak-anaknya dibasuh dan diberi pakaian. Kemudian awan menutupi khemah dan kemuliaan Bapa kita memenuhinya sepenuhnya sehingga Musa tidak dapat masuk. Sejak itu, awanlah yang menentukan bila mereka bergerak.
40 1Lalu Bapa kita berfirman kepada Musa, firman-Nya:
2“Dirikanlah Khemah Suci, iaitu Khemah Pertemuan, pada hari pertama bulan pertama. 3Letakkanlah Tabut Perjanjian di dalamnya, dan lindungilah tabut itu dengan tabir. 4Bawalah masuk meja itu, dan aturlah segala yang ada di atasnya; bawalah masuk kaki pelita, dan nyalakanlah pelita-pelitanya. 5Letakkanlah mazbah emas untuk membakar kemenyan di hadapan Tabut Perjanjian, dan pasanglah tirai di pintu masuk Khemah Suci. 6Letakkanlah mazbah korban bakaran di hadapan pintu masuk Khemah Suci, iaitu Khemah Pertemuan, 7dan letakkanlah bejana pembasuhan antara Khemah Pertemuan dengan mazbah itu, lalu isikanlah air ke dalamnya. 8Dirikanlah halaman di sekelilingnya, dan gantungkanlah tirai di pintu gerbang halaman itu.
9“Ambillah minyak urapan, lalu urapilah Khemah Suci dan segala yang ada di dalamnya; kuduskanlah khemah itu dengan semua perkakasnya, maka khemah itu akan menjadi suci. 10Urapilah mazbah korban bakaran dan segala peralatannya; kuduskanlah mazbah itu, maka mazbah itu akan menjadi maha suci. 11Urapilah bejana pembasuhan dengan alasnya, dan kuduskanlah.
12“Kemudian bawalah Harun dan anak-anaknya ke pintu masuk Khemah Pertemuan, dan basuhlah mereka dengan air. 13Pakaikanlah Harun dengan pakaian suci, lalu urapilah dan kuduskanlah dia, supaya dia melayani Aku sebagai imam. 14Bawalah anak-anaknya, dan pakaikanlah mereka dengan jubah. 15Urapilah mereka seperti engkau mengurapi bapa mereka, supaya mereka melayani Aku sebagai imam. Pengurapan mereka itu memberi mereka jawatan imam yang kekal turun-temurun.”
16Musa melakukan semuanya tepat seperti yang diperintahkan Bapa kita kepadanya. 17Pada bulan pertama tahun kedua, pada hari pertama bulan itu, Khemah Suci pun didirikan. 18Musa mendirikan Khemah Suci: dipasangnya alas-alasnya, dipasangnya papan-papannya, dipasangnya kayu-kayu palangnya, dan didirikannya tiang-tiangnya. 19Dibentangkannya khemah itu di atas Khemah Suci, dan diletakkannya tudung khemah di atasnya, seperti yang telah diperintahkan Bapa kita kepada Musa. 20Diambilnya loh perjanjian, lalu dimasukkannya ke dalam tabut; dipasangnya kayu pengusung pada tabut itu, dan diletakkannya tutup pendamaian di atas tabut itu. 21Dibawanya tabut itu masuk ke dalam Khemah Suci, lalu digantungkannya tabir penutup, dan dilindunginya Tabut Perjanjian, seperti yang diperintahkan Bapa kita kepada Musa. 22Diletakkannya meja itu di dalam Khemah Pertemuan, di sebelah utara Khemah Suci, di luar tabir, 23dan diaturnya roti di atasnya di hadapan Bapa kita, seperti yang telah diperintahkan Bapa kita kepada Musa. 24Diletakkannya kaki pelita di dalam Khemah Pertemuan, bertentangan dengan meja itu, di sebelah selatan Khemah Suci, 25dan dinyalakannya pelita-pelita itu di hadapan Bapa kita, seperti yang telah diperintahkan Bapa kita kepada Musa. 26Diletakkannya mazbah emas di dalam Khemah Pertemuan, di hadapan tabir, 27dan dibakarnya kemenyan yang harum di atasnya, seperti yang telah diperintahkan Bapa kita kepada Musa. 28Kemudian dipasangnya tirai di pintu masuk Khemah Suci. 29Diletakkannya mazbah korban bakaran di pintu masuk Khemah Suci, iaitu Khemah Pertemuan, dan dipersembahkannya di atasnya korban bakaran dan korban sajian, seperti yang diperintahkan Bapa kita kepada Musa. 30Diletakkannya bejana pembasuhan antara Khemah Pertemuan dengan mazbah itu, lalu diisinya dengan air untuk membasuh, 31dan dengan air itu Musa, Harun, serta anak-anaknya membasuh tangan dan kaki mereka. 32Setiap kali mereka masuk ke dalam Khemah Pertemuan atau menghampiri mazbah itu, mereka membasuh diri, seperti yang diperintahkan Bapa kita kepada Musa. 33Didirikannya halaman di sekeliling Khemah Suci dan mazbah itu, lalu dipasangnya tirai di pintu gerbang halaman. Demikianlah Musa menyelesaikan pekerjaan itu.
Kemuliaan-Nya Memenuhi Khemah Suci
34Lalu awan itu menutupi Khemah Pertemuan, dan kemuliaan Bapa kita memenuhi Khemah Suci. 35Musa tidak dapat masuk ke dalam Khemah Pertemuan, kerana awan itu hinggap di atasnya, dan kemuliaan Bapa kita memenuhi Khemah Suci. 36Setiap kali awan itu terangkat dari atas Khemah Suci, orang Israel pun berangkat pada setiap tahap perjalanan mereka; 37tetapi jika awan itu tidak terangkat, mereka tidak berangkat sehingga tiba hari awan itu terangkat. 38Kerana awan Bapa kita menutupi Khemah Suci pada waktu siang, dan ada api di dalamnya pada waktu malam, yang kelihatan oleh seluruh kaum Israel sepanjang perjalanan mereka.