Negeri Bersayap Berdengung
Utusan-utusan berlumba dengan perahu papirus dari bangsa yang jauh dan ditakuti, tetapi Bapa kita berkata Dia hanya akan diam dan memerhati, seperti panas di bawah cahaya matahari, sehingga saat sebelum menuai — lalu memangkas tunas-tunasnya. Sesudah itu bangsa yang sama itu sendiri membawa persembahan ke Gunung Sion.
18 1Wahai, negeri bersayap berdengung, di seberang sungai-sungai Kush, 2yang mengutus duta-duta melalui laut, dengan perahu-perahu papirus merentasi perairan. Pergilah, hai utusan-utusan yang pantas, kepada suatu bangsa yang tinggi dan berkulit licin, kepada suatu kaum yang ditakuti dekat dan jauh, suatu bangsa yang perkasa dan menindas, yang negerinya dibelah oleh sungai-sungai. 3Hai kamu semua penduduk dunia, kamu yang mendiami bumi: apabila panji dinaikkan di atas gunung-gunung, lihatlah! Apabila sangkakala berbunyi, dengarlah!
4Kerana inilah yang difirmankan Bapa kita kepadaku: Aku akan berdiam diri, dan Aku akan memandang dari tempat kediaman-Ku, seperti bahang yang terang dalam cahaya matahari, seperti awan embun dalam kepanasan musim menuai.
5Kerana sebelum musim menuai, apabila bunga sudah layu dan putik menjadi buah anggur yang masak, Bapa kita akan memotong pucuk-pucuk itu dengan pisau pemangkas, dan dahan-dahan yang menjalar itu akan disingkirkan dan dipangkas-Nya. 6Kesemuanya akan ditinggalkan untuk burung-burung pemangsa di gunung-gunung dan untuk binatang-binatang di bumi. Burung-burung pemangsa akan menghabiskan musim panas di atasnya, dan segala binatang di bumi akan menghabiskan musim sejuk di atasnya. 7Pada waktu itu, persembahan akan dibawa kepada Bapa bala tentera syurga, dari suatu kaum yang tinggi dan berkulit licin, dari suatu kaum yang ditakuti dekat dan jauh, suatu bangsa yang perkasa dan menindas, yang negerinya dibelah oleh sungai-sungai—ke tempat nama Bapa bala tentera syurga, iaitu Gunung Sion.